Tuesday, September 1, 2009

Keju Itali buatan Langkawi

Beberapa bulan lepas aku ada baca kt blog cekdet tentang keju mozarella nie.. tk banyak artikal citer lam tu....tp yg menarik bagi aku..nak2 lagi bunyi2 cheese (kesukaanku) ..suka makan gemok tak mau, walaupun gemok gak ler..hehehe..

Tapi yang buat aku teruja bunyi mcm ala2 ladang bela lembu kambing nie ...so, tadi terbaca dalam kosmo online cerita tentang cheese mozarella yg di war oleh TUN dulu tu..aku copy sebagai pembakar semangat aku...huhuh..bakar apa tu?

Malaysia kini mampu mengeluarkan keju untuk pasaran komersial. Itulah yang sedang diusahakan Norzana Ghazali dan suaminya, Michael Bruschi yang berjaya menghasilkan dan memasarkan keju mozarela yang sedap daripada susu kerbau yang diternak di Pulau Langkawi.




SEBUT sahaja keju, pasti sesiapa sahaja akan terbayang sejenis makanan berasaskan susu yang diproses menjadi separa kental. Ia merupakan antara makanan ruji masyarakat Barat dan kerana itulah ia boleh ditemui dalam banyak jenis sajian Barat. Misalnya, ia sering ditemui dalam spageti, roti, salad dan kek.

Mungkin kerana ketulan berwarna kuning susu ini berasal dari Eropah maka ia begitu sinonim dengan sajian tersebut. Nama keju itu sendiri berasal daripada bahasa Portugis iaitu queijo. Susu yang sering digunakan untuk menghasilkannya adalah susu lembu. Selain itu, susu kambing, keldai, kuda, unta dan kerbau juga boleh digunakan untuk menghasilkan keju.

Tetapi percayakah anda, keju juga boleh dihasilkan di negara beriklim tropika seperti Malaysia? Lebih membanggakan ia dihasilkan oleh anak tempatan di Pulau Langkawi, Kedah.

Pemilik perusahaan keju tersebut menamakan perniagaannya Friendly Farms Sdn. Bhd. yang terletak di P.T. No. 301, Lot 1218, HS (M) 23-89, Kampung Nyior Chabang, Mukim Bohor, Langkawi. Seorang wanita tempatan, Norzana Ghazali, 25, bersama suaminya, Michael Bruschi, 53, mengusahakannya sejak dua bulan lalu.

Semasa dalam perjalanan ke tempat yang dituju, saya mula membayangkan apa yang bakal dilihat.

Di sebuah bangunan operasi berlatar belakang kawasan ragut yang hijau dengan dipenuhi lembu dan kerbau, saya mula mengatur langkah memasuki premis itu.

Kedatangan penulis dan jurugambar disambut mesra oleh Michael Bruschi yang berasal dari San Marino, Itali. Beliau yang bertubuh besar memakai baju-t putih berkolar, berseluar panjang dan mengenakan apron putih bersih di pinggang. Dengan nada suara yang ceria dan mesra, beliau menjemput kami masuk ke dalam premisnya.

Michael Bruschi atau lebih mesra dipanggil Mike telah menyiapkan persediaan awal proses membuat keju mozarela untuk ditunjukkan kepada kami.

Ketika itu, isterinya, Norzana atau Yana tiada di premis kerana telah keluar awal pagi untuk menghantar tempahan pelanggan di sekitar pulau legenda itu dan akan pulang dalam masa dua jam lagi.


1. MICHAEL BRUSCHI memeriksa kepejalan keju yang dihasilnya. 2. MEMASUKKAN susu pejal ke dalam kawah. 3. KETULAN besar keju yang baru diangkat perlu disiram dengan air panas.


Menurut Mike, semua idea bagi memulakan perniagaan dan perusahaan itu datangnya daripada Yana yang begitu bersemangat untuk menjadikan perniagaan tersebut maju dan berdaya saing.

"Membuka sebuah ladang dan perusahaan ini telah menjadi impian isteri saya sejak sekian lama. Pada Oktober lalu, mimpinya menjadi nyata.

"Perniagaan yang dibuka ini membekalkan keju dan daging segar mengikut selera Itali atau orang Eropah kerana saya sendiri berasal dari Itali. Selain itu, permintaan terhadap keju dan daging lembu import begitu menggalakkan di pulau ini," katanya.

Pada peringkat awal, perniagaan yang mahu dilakukannya dan isteri adalah menternak dan menjual daging lembu.

Menurutnya, perusahaan awal itu berkembang kepada pembuatan keju berasaskan susu lembu dan susu kerbau.

"Sekarang saya turut menghasilkan sendiri keju daripada susu lembu iaitu keju Fior Di Latte dan Riccota. Bukan itu sahaja, saya juga menghasilkan keju mozarela daripada susu kerbau.

"Lebih memeranjatkan, keju mozarela yang dihasilkan di sini lebih sedap daripada keju-keju terkemuka lain yang dihasilkan di negara saya sendiri. Mungkin kerana susu kerbau di sini lebih istimewa," katanya yang turut terkejut dengan keistimewaan keju yang dihasilkan itu.

Keenakan keju mozarela yang dihasilkannya menyebabkan perniagaan mereka mula dikenali penduduk setempat dalam tempoh yang singkat. Tambahan pula permintaan terhadap keju mozarela yang dihasilkan mereka laris seperti 'pisang goreng'.

"Setiap keju mozarela yang dibuat tidak sempat disimpan lama di dalam ruang pendingin kerana habis dibeli pelanggan," ujar Mike.

Walaupun cuaca dan suhu di negara ini lebih panas serta berbeza daripada Itali, ia tidak menjadi masalah kepada Mike untuk membuat keju mozarela yang sedap kerana beliau telah membina bilik khas untuk membuat keju dengan tahap kualiti yang terbaik.

Jelas Mike lagi, suhu 30 darjah Celsius di ruang bilik yang sedia ada sudah mencukupi untuk melakukan proses menghasilkan keju mozarela.


NORZANA GHAZALI (kanan) dan Michael Bruschi (dua dari kanan) bersama dua pekerja mereka.


Mengulas tentang masalah, katanya, ia lebih kepada memperoleh bekalan susu kerbau daripada penternak sekitar pulau Langkawi dan Buffalo Park yang agak terhad.

"Lebih-lebih lagi untuk mendapatkan bekalan susu yang baik, berkualiti dan segar," katanya.

Keadaan tersebut telah menyebabkan permintaan keju mozarela yang tinggi dalam kalangan pelanggan setempat sukar dipenuhi sehingga ada kalanya terpaksa ditolak.

"Saya terpaksa menolak beberapa tempahan pelanggan. Saya mempunyai kelengkapan dan tenaga kerja yang cukup untuk menghasilkan keju mozarela dengan kapasiti 300 liter susu kerbau dalam satu-satu masa.

"Tetapi bekalan yang saya peroleh purata 10 liter sehari tidak cukup untuk memenuhi permintaan. Jadi, tak dapatlah saya memenuhi permintaan yang tinggi terhadap keju mozarela pada masa ini," katanya kecewa.

Sementara itu, Yana yang baru pulang daripada menghantar tempahan meneruskan temu bual manakala Mike pula bergegas ke bilik khas bagi memproses susu kerbau yang telah dipasteurkan dengan suhu panas sejak pukul 8 pagi.

Yana yang berasal dari Negeri Sembilan memberitahu, keju yang dihasilkannya menggunakan bahan ramuan 100 peratus organik. Malah salah satu bahan untuk membuat keju ialah renet yang diambil daripada pokok Articok atau nama saintifiknya Cynara Scolymus yang diimport khas dari Belanda.

"Renet digunakan sebagai bahan untuk mengentalkan susu menjadi keju," ujarnya.

Kebiasaannya Yana dan Mike dibantu oleh dua pekerjanya, Ismail Morad dan Siti Bujang. Mereka akan membuat keju pada setiap hari mengikut jumlah bekalan susu yang diperoleh. Kadang-kadang jika bekalan susu yang ada banyak maka proses membuat keju akan dilakukan sebanyak dua kali sehari.

Proses menghasilkan keju dengan kaedah tradisional biasanya memakan masa lima jam dan ia tidak tamat di situ sahaja, malah memerlukan kira-kira 12 jam lagi untuk disejukkan di dalam suhu dingin sebelum keju mozarela boleh dimakan.

Yana berkata, harga keju mozarela seberat 100 gram dijual RM12 dan setiap keju yang dihasilkan tidak akan disimpan lama di dalam premisnya kerana ia telah ditempah awal oleh pelanggan.

"Setiap pelanggan perlu membuat tempahan seminggu lebih awal untuk membeli keju mozarela saya. Ini kerana bekalan susu kerbau segar yang diperoleh sangat terhad berbanding permintaannya yang tinggi.

"Namun, saya jangka segala masalah tersebut dapat diselesaikan pada tahun 2009. Buat permulaan, perniagaan saya ini baru di peringkat 'uji kaji'. Tahun depan, cabaran sebenar akan bermula," katanya ketika ditemui di ladangnya yang masih dalam pembinaan dan dijangka siap tidak lama lagi.

Pelanggan keju mozarela Friendly Farms Sdn. Bhd. terdiri daripada hotel-hotel terkemuka di Langkawi dan restoran makanan Itali di sekitar pulau tersebut.

Antaranya, hotel Resort Four Seasons, Resort Tanjung Rhu, Hotel Datai dan Hotel Holiday Villa.

Sebelum memulakan pembuatan keju mozarela dan berjaya menghasilkan keju, Mike menjelaskan beliau dan pekerjanya, Ismail dan Siti, telah melakukan uji kaji selama sebulan. Namun, keju yang dihasilkan itu tidak 'menjadi' sehinggalah mereka mendapatkan khidmat nasihat seorang pakar keju dari Itali.

Berikutan itu, Mike dan Yana telah mengupah satu-satunya pakar pembuat keju halal di dunia dari Itali, Bosio Eddo. Difahamkan Bosio merupakan pencipta resipi piza keju mozarela jenama Pizza Hut yang kini sangat popular di seluruh dunia.

Selepas mendapatkan nasihat daripada Bosio, maka percubaan buat sekian kalinya dilakukan. keju mozarela Langkawi akhirnya berjaya dihasilkan.


No comments: